BESUT – Seorang pekerja kafe dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menyalahgunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rakannya tanpa kebenaran untuk kegunaan sendiri minggu lalu.
Tertuduh, Nur Amnie Nadirah Mat Din, 25, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Amnie Nadirah didakwa menggunakan kad ATM milik individu lain untuk kegunaan sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kedai runcit di Felda Tenang, di sini pada 15 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Nur Amnie Nadirah dibebaskan dengan wang jaminan RM1,500 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes pada 21 Oktober ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar.
No comments:
Post a Comment