Translate

Monday, September 7, 2026

‘Kurangkan sengketa, berpolitik’

PETALING JAYA – Sambutan Maulidur Rasul 1448/2026 di seluruh negara yang mengangkat tema ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’ berlangsung dalam keadaan penuh kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pemimpin Islam, badan dan gerakan atas nama Islam diseru mengurangkan persengketaan dan berpolitik, sebaliknya menumpukan perhatian, tenaga dan gerakan kepada usaha memperkukuh serta menggemilangkan identiti ummah.

 Baginda bertitah, usaha memperkasakan ummah perlu diberikan keutamaan ketika kesatuan umat Islam semakin berdepan pelbagai cabaran termasuk perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan. 

Titah baginda, tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia juga semakin mengatasi semangat persaudaraan sehingga konsep ukhuwah semakin dipinggirkan. 

“Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilahkabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa, terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha-usaha positif.

 “Usaha berkenaan antaranya meliputi bidang pendidikan Islam, ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga.

 “Usaha-usaha positif ini wajib diperluaskan, diperkukuhkan dan dijayakan,” titah baginda.

Pada majlis sama, tokoh filem, seniman dan pengkarya veteran negara, Datuk Rahim Razali dipilih menerima Anugerah Zaid bin Thabit (Tokoh Pengamal Komunikasi dan Media) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H peringkat negeri. 

Rahim, 87, yang dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah menerima anugerah tersebut yang disampaikan Sultan Nazrin.

Di Seremban, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh sebagai asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat. 

Baginda bertitah, selain itu pegangan terhadap agama juga perlu diberi perhatian. 

“Beta menegaskan bahawa pegangan terhadap agama dan penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat.

 “Sehubungan ini, beta mengingatkan agar Rukun Negara difahami, sentiasa dihayati dan dijadikan pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Sembilan di Seremban semalam. 

Di Alor Setar, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darulaman bersamasama Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. 

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, titah ucapan Tuanku Sultan, tayangan video khas Maulidur Rasul serta persembahan marhaban dengan lebih 500 orang hadir memeriahkan sambutan. Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Imam Masjid Jame’ As-Shahab Kepala Batas, Che Ismail Bakar, manakala mantan Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim menerima Anugerah Khas peringkat negeri. 

Di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Syara­han dan Muzakarah Islam, Shah Alam. 

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohamad Fahmi Ngah. 

Majlis itu dihadiri hampir 1,000 peserta dan Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Hindon Abdullah, 84, yang merupakan figura gerakan dakwah muslimah serta pembangunan institusi keluarga dan masyarakat di Selangor. 

Di Pekan, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah. 

Bekas Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Norzan Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pahang Tahun 2026/1448, sekali gus membawa pulang sijil penghargaan, plak dan hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman. 

Di Kuala Terengganu, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kecintaan terhadap Rasulullah perlu diterjemah menerusi amalan sunnah biarpun dalam hal kecil secara berterusan. 

“Meneladani Rasulullah tidak mencukupi dengan hanya pengakuan kecintaan semata-mata.

 “Baginda mengajar nilai sesuatu amalan bukan semata-mata banyaknya perbuatan tetapi pada keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakannya,” titah baginda di Stadium Negeri semalam sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu. 

Di Batu Pahat, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengetuai perarakan melibatkan 5,000 peserta bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

No comments:

Post a Comment