KUALA NERUS – Isteri kepada Allahyarham Amirul Fahmi Wan Jusoh, Nur Izzah Ahmad, 36, berkata, dia dan suami memang merancang untuk menetap bersama ibu mentuanya, Maimunah Muda, 67, di Kampung Tok Jembal di sini.
Bagaimanapun, pada hari kejadian, Nur Izzah yang baru habis berpantang selepas bersalin sedang berada di rumah keluarganya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu dan ditemani Amirul Fahmi.
“Semalam (kelmarin), suami dan Rehan Yusuf, 9, pulang dahulu ke rumah ibu mentua di Kampung Tok Jembal sementara saya bersama bayi Raes Yusof berusia tiga bulan dan anak kedua, Yusof Ali, 4, tidak ikut,” katanya.
Nur Izzah yang merupakan kerani kewangan berkata, sebelum kejadian, arwah suaminya ada menghubungi dan memintanya supaya memohon cuti.
“Rasa pelik apabila suami minta saya bercuti sedangkan saya baru masuk kerja selepas lama cuti berpantang.
“Rupanya ‘cuti’ untuk uruskan jenazah suami dan anak sulung (Rehan). Kami berdua bekerja di tempat yang sama,” katanya.
Nur Izzah berkata, jenazah Amirul Fahmi dan Rehan Yusof dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Jembal.
Sementara itu, seorang jiran, Wan Azri Wan Awang, 46, berkata, dia bergegas ke rumah mangsa yang sedang terbakar sebaik dikejutkan dari tidur oleh isterinya.
“Kami terdengar bunyi atap meletup dan sebaik tiba, saya dan dua penduduk kampung lain nampak api sedang marak dari bahagian tengah tingkat atas rumah itu.
“Ketika itu, semua orang menjerit meminta Amirul, ibu dan anaknya keluar menyelamatkan diri tetapi tidak disahut.
“Kami kemudian mengambil keputusan untuk memecahkan pintu hadapan sebelum membawa keluar mek (Maimunah) yang tidur di tingkat bawah,” katanya.
Wan Azri berkata, api yang terlalu marak merencatkan usaha mereka untuk menyelamatkan Amirul Fahmi dan Rehan Yusof di tingkat atas.

No comments:
Post a Comment