Translate

Friday, September 25, 2026

Penyu belimbing dijangka kembali ke Terengganu


KUALA NERUS – Induk penyu belimbing yang mendarat untuk bertelur di Pantai Marang dekat sini pada Isnin lalu berkemungkinan akan kembali semula untuk membuat lagi sarang seterusnya dalam tempoh beberapa minggu lagi. 

Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, secara lazimnya, seekor penyu belimbing betina akan bertelur di tempat pendaratan sama lebih dari sekali sepanjang musim mengawan sehingga bulan Oktober depan. 

“Beberapa minggu akan datang sangat kritikal kerana ada kemungkinan induk sama akan kembali menghasilkan sarang berikutnya. 

“Masyarakat perlu memberi ruang dengan kurangkan gangguan cahaya, kenderaan dan orang ramai berkumpul di pantai kerana boleh menakutkan penyu tersebut yang cuba naik bertelur,” katanya di sini semalam. 

Beliau mengulas pendaratan kembali seekor penyu belimbing betina buat julung kalinya di Terengganu dalam tempoh sembilan tahun di Pantai Marang. 

Induk penyu itu mengeluarkan 44 biji telur yang telah dibawa ke pusat konservasi di Rantau Abang, Dungun untuk tujuan penetasan. 

Mohd. Uzair berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, ia peluang berharga untuk pakar mengecam dan mengenal pasti genetik induk penyu belimbing tersebut. 

Jelasnya, identiti induk berkenaan masih menjadi tanda tanya sama ada ia merupakan reptilia sama yang mendarat kali terakhir pada tahun 2017 atau penyu lain.

No comments:

Post a Comment