BESUT – “Masih tidak dapat membayangkan bagaimana saya dan dua anak, Wan Muhammad Nur Haqeem, 4 bulan, dan Wan Muhammad Raees, 2, yang masih kecil mahu menjalani hidup tanpa dia (Rubayyi) selepas ini.”
Demikian luahan Wan Muhammad Naim Wan Hussin, 28, yang merupakan suami kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, Rubayyi Razak, 27, yang maut bersama penyelianya, Wan Adilah Wan Awang, 49, akibat renjatan elektrik di Kampung Air Tawar, Kuala Besut dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari di sini kelmarin.
Rubayyi yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti adalah seorang penuntut yang berdedikasi dalam pengajian biarpun sudah mempunyai dua anak lelaki.
Wan Muhammad Naim berkata, arwah isterinya mula menjalani latihan praktikal di kolam ikan tersebut sejak 10 Ogos lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas melahirkan anak kedua mereka.
“Semalam (kelmarin) saya seperti biasa menjemput isteri (Rubayyi) untuk pulang sebentar ke rumah di Kampung Lahar, di sini, untuk makan tengah hari pada pukul 1 tengah hari.
“Sebaik tiba di kolam ikan, saya cuba mencarinya sebelum terkejut menemukan tubuhnya dan pemilik kolam ikan (Wan Adilah) terbaring berhampiran sebatang paip,” katanya di sini semalam.
Wan Muhammad Naim berkata, dia yang mengesyaki Rubayyi dan Wan Adilah terkena renjatan elektrik segera meminta bantuan penduduk kampung.
Katanya, luluh hatinya apabila pegawai perubatan dan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan isterinya dan pengusaha kolam ikan kerapu hibrid terbabit sudah meninggal dunia.
“Kami baru dapat tinggal bersama sejak arwah memulakan latihan praktikal.
“Sebelum ini, anak-anak dijaga ibu mentua sewaktu dia belajar di kampus (UiTM Jengka),” katanya.
Sementara itu, kakak Wan Adilah, Wan Affida Malina Wan Awang, 51, pula tidak menyangka kejadian renjatan elektrik tersebut boleh meragut nyawa adiknya dan seorang pelajar praktikal.
“Pada mulanya saya ingatkan mereka cuma cedera ringan. Kolam ikan itu diusahakan adik saya (Wan Adilah) sejak beberapa tahun lalu.
“Dia yang masih bujang memang gigih sebagai usahawan dan aktiviti kemasyarakatan, malah pernah dilantik Exco Majlis Belia Malaysia,” katanya. J
enazah Rubayyi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kamis, Pasir Puteh, Kelantan, manakala Wan Adilah pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dengir, Jerteh, di sini.

.jpeg)

No comments:
Post a Comment