Translate

Thursday, September 10, 2026

Optimis akar umbi BN akan pilih PN

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

MARANG – Pas optimis kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masih cerah direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka biarpun cuba ‘dicantas’ Pakatan Harapan (PH). 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, biarpun perbincangan masih rancak berjalan, majoriti akar umbi BN khususnya UMNO dilihat lebih berminat bekerjasama dengan PN demi muafakat Melayu Islam.

 “Majoriti termasuk Ketua Pemuda (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh) dan peringkat akar umbi setuju dengan PN. 

“Kejayaan di (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan respons yang sangat positif (terhadap kerjasama BN-PN),” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila, di sini semalam. 

Beliau juga mendakwa rakyat juga telah melihat kegagalan PH dalam mengurus negara dan hubungan antarabangsa.

 Ahli Parlimen Marang itu berkata, biarpun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November 2022 menunjukkan PN lebih berpeluang memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, namun pihaknya rela berunding dengan BN demi perpaduan Melayu. 

“Kita mahu perpaduan orang Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya. 

Namun, beliau mengakui penerimaan dalam kalangan pemimpin Majlis Tertinggi BN dan UMNO nampaknya masih berbelah bahagi dalam jalinan kerjasama dengan PN pada PRN Melaka. 

Beliau berkata, perbincangan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan memilih strategi lain dalam menghadapi PRN Melaka sekiranya rundingan dengan BN nanti akan berakhir dengan kegagalan. 

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dipetik berkata, BN terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak termasuk PN dan PH sebelum mempertimbangkan cadangan kerjasama dikemukakan. 

Ketua Menteri Melaka itu berkata, antara asas utama perlu dipenuhi dalam setiap rundingan ialah BN akan mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diberi mandat untuk menguruskan rundingan kerjasama dengan BN dalam PRN Melaka.

No comments:

Post a Comment