Translate

Thursday, September 24, 2026

Isytihar darurat jika cecah IPU 400

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

HULU TERENGGANU – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan selain Serian, Sarawak sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) direkodkan melebihi 400 atau berbahaya. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, setakat ini, tiga stesen IPU di Sarawak sedang mencatatkan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan dan Sri Aman. 

“Kita akan sentiasa memantau keadaan mengikut SOP (prosedur operasi standard). “Sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) merekodkan 400 ke atas, ia dikira sangat berbahaya dan boleh dipertimbangkan darurat,” katanya selepas merasmikan program Kampung Madani Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Basong, di sini semalam.

 Kelmarin, Bahagian Serian diisytiharkan darurat ekoran kawasan tersebut mencatatkan bacaan IPU 500. 

Arthur berkata, sepanjang tempoh darurat jerebu, semua sekolah ditutup, pekerja bekerja di rumah dan orang ramai tidak digalakkan keluar rumah kecuali memakai pelitup muka. 

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, kawasan selatan Sarawak termasuk Serian telah merekodkan bacaaan IPU berbahaya secara konsisten dalam tempoh hampir seminggu ini. 

Dalam perkembangan sama, Arthur berkata, sebaik Serian diisytiharkan darurat kelmarin, kerja-kerja pembenihan awan terus digiatkan di selatan Sarawak. 

Beliau berkata, ia menyasarkan kawasan Empangan Sika, Assyakirin, Bakun dan Long Jawi selain Serian. “Operasi (pembenihan awam) berjaya dengan hujan mula dikesan di kawasan Empangan Bakun dari pukul 6 petang (kelmarin) hingga 3 pagi (semalam). 

“Kita juga melakukan operasi pembenihan awan di kawasan utara Semenanjung dengan memberi fokus Empangan Beris, Muda, Pedu dan Ahning,” katanya. 

Tambahnya, operasi itu juga berjaya dengan hujan turun bermula pada pukul 3 petang di Empangan Beris, Muda dan Pedu.

No comments:

Post a Comment