Translate

Wednesday, July 12, 2023

Penjawat awam digalak carum SKSSR untuk isteri

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menjalin kerjasama dengan semua kerajaan negeri sebagai inisiatif menggalakkan lebih ramai penjawat awam menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk isteri mereka yang merupakan suri rumah.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kerjasama itu membolehkan kakitangan agensi kerajaan negeri diberi kemudahan pemotongan gaji untuk melakukan caruman SKSSR terbabit.

“Kita mahu lebih ramai suami termasuk dalam kalangan penjawat awam melindungi isteri masing-masing yang merupakan suri rumah.

“Caruman SKSSR hanya RM120 setahun dan ia amat berpatutan berbanding skim insurans perlindungan lain yang terdapat di pasaran,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan SKSSR Terengganu, di sini hari ini.

Sivakumar berkata, selain kerajaan negeri, beliau juga menggalakkan ahli politik dan pemimpin setempat yang berkemampuan membantu suri rumah tidak berkemampuan melakukan caruman SKSSR.

Tambah beliau, pihak korporat juga disaran mengambil tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjayakan SKSSR terbabit.

“Perkeso menyasarkan 500,000 suri rumah tempatan mencarum dalam SKSSR menjelang akhir tahun ini. Begitupun baki enam bulan ini, penyertaan dalam skim tersebut cuma 178,085 orang di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment