Translate

Wednesday, July 5, 2023

Hujan luar biasa punca kepala air Jeram Mawar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Hujan luar biasa melebihi 106.5 milimeter (mm) di Hulu Kemaman dipercayai punca berlakunya fenomena kepala air yang setakat ini telah mengorbankan tujuh nyawa di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Hassan As’ari Omar berkata, kawasan tersebut juga telah dilanda hujan selama tiga hari berturut-turut sejak 28 Jun lalu.

“Kapasiti air di Sungai Teladas yang bersambung dengan beberapa batang sungai di Hulu Tembeling semakin meningkat berikutan hujan yang turut turun di kawasan Pahang itu pada 1 Julai lalu (Sabtu).

“Kita percaya ia menyebabkan kawasan kawah yang terdapat di kawasan punca air terjun di Sungai Teladas melimpah keluar membawa isipadu air, sisa kayu dan batu menimpa Jeram Mawar yang terdapat di bawahnya,” katanya di Air Putih di sini hari ini.

Hassan As’ari berkata, berdasarkan pemantauannya di lokasi kejadian, kepala air yang menimpa kawasan itu dianggarkan melebihi lima meter.

“Penduduk tempatan memberitahu fenomena sama pernah menimpa Jeram Mawar sebelum ini namun tiada mangsa terlibat pada masa tersebut,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan pasangan suami isteri, Karim dan Azizah Eiyi, 40, dan tujuh anaknya berusia empat hingga 18 tahun serta tunang anak perempuan sulung mereka menjadi mangsa fenomena kepala air itu.

Setakat ini, lapan mayat mangsa termasuk suami isteri itu dan lima anak mereka telah dijumpai dalam radius sehingga 25 kilometer dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment