Translate

Wednesday, July 26, 2023

Anak murung RM30,000 tercicir tengah jalan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang tukang gunting kemurungan selepas mendakwa wang tunai RM30,000 yang merupakan sebahagian simpanannya sejak empat tahun lalu tercicir di Jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu berhampiran persimpangan Kampung Lak Lok di sini pada Khamis lalu.

Wang tunai yang didakwa diletakkan tanpa sengaja di atas but kereta Honda Civic dipandu Wan Ibrahim Wan Leh, 24, pada pukul 11 pagi.

Ibu lelaki itu, Che Safiah Abdullah, 63, berkata, sewaktu kejadian, anaknya dalam perjalanan ke sebuah bank berhampiran untuk menyimpan keseluruhan wang simpanannya yang berjumlah RM60,000.

Dia mendakwa wang itu disimpan Wan Ibrahim hasil titik peluh menjadi tukang rambut di pekan Jertih sejak tahun 2019.

“Sebelum bergerak keluar dari rumah, anak saya (Wan Ibrahim) meletakkan beg berisi wang tunai itu di atas but keretanya. Dia terlupa mengambil semua beg tersebut dan hanya menyedarinya sebaik tiba di bank berkenaan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya di sini semalam.

Che Safiah berkata, Wan Ibrahim yang panik telah berpatah balik dan mendapati sebahagian besar wang tunai itu bertaburan di atas jalan raya.

Tambahnya, anak lelaki dengan bantuan beberapa penduduk kampung telah mengutip kembali wang tersebut.

“Begitupun wang tunai yang berjaya dikutip semula cuma kira-kira RM30,000 manakala baki RM30,000 masih belum dijumpai dan ia telah menyebabkan anak saya (Wan Ibrahim) murung dan berkurung di dalam biliknya sejak kelmarin (Khamis lalu),” ujarnya.

Che Safiah berkata, Wan Ibrahim pada asalnya bercadang menggunakan sebahagian wang simpanan itu untuk membeli kereta bagi kegunaan sendiri.

Dia menambah, anaknya juga bercadang menggunakan wang simpanan tersebut sebagai upah badal haji arwah bapa dan bapa tirinya.

“Laporan polis berhubung kehilangan wang tersebut telah dibuat di Balai Polis Kampung Raja di sini dan saya rayu sesiapa yang mengambil wang simpanan anak saya agar pulangkan semula kepada kami,” luahnya.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad yang dihubungi mengesahkan laporan tentang laporan kehilangan wang tersebut.

Beliau berkata, pihak polis tidak bercadang untuk membuka kertas siasatan berhubung aduan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment