Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah meningkatkan pemantauan di 93 lokasi berisiko lemas di seluruh negara berikutan insiden kepala air yang melibatkan 10 mangsa pada minggu lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, lokasi pantauan JBPM itu bukan sahaja kawasan air terjun malah turut merangkumi sungai dan pantai.
“Antara lokasi berisiko di Terengganu ialah Lata Cangkah dan Lata Payung, Setiu; Air Terjun Belukar Bukit dan Sekayu, Hulu Terengganu dan Lata Tembakau, Besut.
“Jeram Mawar, Kemaman; Pantai Teluk Bidara, Dungun; muara Sungai Mangkuk, Setiu dan Pantai Pandak, Kuala Terengganu juga berisiko,” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2023.
Akmal Nasrullah berkata, anggota JBPM akan melakukan rondaan berkala selain menempatkan alat bantu seperti pelampung di lokasi berisiko berkenaan sebagai inisiatif mengurangkan kematian akibat lemas.
Tambah beliau, JBPM juga akan menggiatkan lagi kempen keselamatan di air kerana tanpa kerjasama erat masyarakat, kes kematian akibat lemas di kawasan riadah sukar untuk ditangani.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan Jeram Mawar telah dilanda fenomena kepala air setinggi lebih lima meter yang melibatkan 10 pengunjungnya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment