KUALA LUMPUR – Pembentukan gumpalan awan kumulonimbus yang bergerak seolah-olah seperti ombak besar di Kota Bharu, Kelantan kelmarin berpunca daripada kejadian Taufan Goni yang sedang melanda utara Filipina pada waktu ini.
Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip (gambar) berkata, pergerakan taufan itu yang bergerak dengan kelajuan antara 100 kilometer sejam (km/j) hingga 121 km/j ke timur Taiwan itu telah membentuk fenomena awan tersebut.
"Kumpulan awan yang turut dikenali sebagai Garis Badai itu dijangka dapat dilihat di beberapa negeri di utara tanah air dan Pantai Timur kerana ia melintasi ruang udara dari Kedah hingga ke Kelantan sebelum menghala ke timur Taiwan menerusi Laut China Selatan.
"Pergerakan itu diramal dapat dilihat antara pukul 5 petang hingga 6 petang dan ia akan berlarutan sehingga 24 Ogos ini (esok)," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau mengulas kemunculan gumpalan awan kumulonimbus yang bergerak seperti ombak besar di Kota Bharu, Kelantan kelmarin yang menarik perhatian orang ramai sehingga menjadi viral di media sosial.
No comments:
Post a Comment