KUALA LUMPUR – Malaysia hampir pasti serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion dekat Madagascar di Lautan Hindi adalah kepunyaan Boeing 777 sekali gus meningkatkan harapan ia merupakan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat malang Boeing 777 Penerbangan Malaysia hilang dari radar sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada Mac 2014 dan menimbulkan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.
Usaha mencari yang diketuai Australia memberi fokus kepada kawasan di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia yang terletak kira-kira 3,700 kilometer dari Pulau Reunion milik Perancis.
Pakar-pakar penerbangan yang meneliti gambar-gambar yang tersebar luas berpendapat ia berkemungkinan satu komponen sayap kapal terbang dipanggil flaperon atau sirip yang terletak berdekatan dengan fiuslaj pesawat.
“Hampir pasti objek itu berasal daripada pesawat Boeing 777 seperti yang diberitahu oleh ketua penyiasat kami,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi kepada Reuters.
Ab. Aziz turut memberitahu, satu pasukan dari Malaysia telah digerakkan ke Pulau Reunion.
Seorang sumber yang biasa mengenai perkara itu turut memberitahu Reuters, bahagian itu hampir pasti milik Boeing 777.
Tambahnya, cebisan tersebut kebiasaannya memiliki tanda atau nombor komponen bagi membolehkan ia dikenal pasti kepunyaan siapa.
Sebelum ini, para penyiasat percaya seseorang telah sengaja mematikan transponder MH370 yang majoritinya dinaiki penumpang dari China sebelum melencongkan pesawat itu beribu-ribu kilometer dari laluan asalnya.
Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Kamarul Ariffin, serpihan itu ditemui dalam keadaan utuh dan mudah dikenal pasti kerana tiada lumut-lumut tebal di atasnya.
Tambahnya, jika ia sah serpihan Boeing 777, kemungkinan ia milik MH370 adalah sangat tinggi kerana hanya pesawat itu yang dilaporkan terhempas di Lautan Hindi sejak pesawat itu dilancarkan pada tahun 1995.
"Tidak mustahil cebisan pesawt MH370 sampai ke kawasan tersebut kerana kejadian ini sudah setahun berlalu," katanya.
Dalam pada itu, seorang konsultan keselamatan penerbangan dan bekas penyiasat nahas udara dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), Greg Feith berkata, sumber Boeing memberitahu objek berkenaan adalah milik Boeing 777.
Katanya, sama ada ia merupakan MH370 ataupun tidak masih tidak dapat dijelaskan.
"Bagaimanapuin, kami tidak pernah kehilangan mana-mana pesawat Boeing 777 di kawasan tersebut," kata Feith.
Pakar oceanagrafi berkata, arus yang berpusar kuat boleh menghanyutkan bangkai MH370 hingga beribu-ribu kilomerter dari tempat ia dipercayai terhempas iaitu di selatan Lautan Hindi.
No comments:
Post a Comment