Translate

Thursday, August 20, 2015

80 syarikat sertai forum di Beijing


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Sebanyak 80 syarikat swasta negara ini akan menyertai forum ekonomi ‘One Belt, One Road’ anjuran bersama MCA dan kerajaan negara China di Beijing, China pada 14 hingga 16 Julai ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penglibatan 162 delegasi yang terdiri daripada usahawan tempatan itu bertujuan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan terkini tentang program pembangunan ekonomi tersebut.

Menurutnya, ia bermatlamat untuk menghidupkan semula ‘Jalan Sutera’ yang pernah menjadi laluan perdagangan antara China dengan Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

“Forum ekonomi yang julung kali diadakan itu sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kita menunjukkan sokongan dan komitmen terhadap usaha China melalui program tersebut.

“Malaysia merupakan negara terawal yang tampil menyokong polisi berkenaan dan kita sememangnya perlu mengambil peluang daripada limpahan ekonomi daripada program ‘One Belt, One Road’ berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MCA di Wisma MCA di sini semalam.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya percaya program ekonomi itu bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada Malaysia malah kepada rantau Asia Tenggara keseluruhannya.

Menurut beliau, selain pembangunan insfrastruktur di Laluan Sutera, China juga sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan negara ini dalam industri halal.

“China amat tertarik dengan Malaysia sebagai hab halal terpengaruh dunia selain sijil pengesahan halal negara ini yang mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai memberitahu, MCA juga akan melancarkan kempen untuk mengutip dana sebanyak RM300 juta bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang akan dibina di Kampar, Perak.

Beliau memberitahu, hospital yang bakal mempunyai 300 katil pesakit itu bukan sahaja akan berfungsi sebagai hospital pakar malah bakal menempatkan pelajar perubatan UTAR bagi menjalani latihan siszawah.

“UTAR telah mempunyai Fakulti Perubatan sejak tahun 2009 dan tiba masanya untuk mempunyai sebuah hospital perubatan sendiri. Projek pembinaannya sedang dalam proses kelulusan Kabinet dan kita harap mengumpul dana RM300 juta pada masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment