Translate

Sunday, August 16, 2015

Peguam syarie tidak boleh dilantik dalam kalangan bukan Islam

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini semalam diberitahu peguam syarie tidak boleh dilantik di kalangan bukan Islam berikutan kekangan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, Mahkamah Syariah tidak boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat ‘peguam syarie’ bukan Islam yang melakukan kesalahan menghina mahkamah kerana berdasarkan peruntukan undang-undang syariah, individu bukan beragama Islam tidak boleh didakwa atau disabitkan dengan kesalahan syariah.

“Sekiranya ‘peguam syarie’ yang bukan beragama islam dibenarkan beramal (bertugas) dan berhujah di Mahkamah Syariah, adakah mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan atas kesalahan menghina mahkamah yang dilakukan? Tidak, kerana mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa mereka yang bukan Islam dengan kesalahan syariah.
“Demi kebaikan umat Islam, hanya peguam beragama Islam dan mengamalkan Islam berhak berhujah di Mahkamah Syariah. Agama Islam mestilah difahami dan diterjemah berasaskan prinsip Islam bukannya interpretasi mengikut undang-undang lain,” kata beliau dalam hujahan prosiding rayuan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Jun lalu yang membenarkan rayuan peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian di hadapan panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif. Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang ialah Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Dalam pada itu, peguam, Datuk Cyrus Dass yang mewakili Victoria dalam hujahannya membangkitkan persoalan tentang perkataan ‘any person’ (sesiapa sahaja) yang digunakan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum ini bukannya ‘any Muslim’ (mana-mana orang Islam).

“Victoria selaku pihak responden berpengetahuan dalam agama Islam kerana mempunyai Diploma dalam Undang-Undang Islam. Sehubungan itu, beliau layak untuk berhujah di Mahkamah Syariah selaras dan bertepatan dengan perkataan ‘any person’,” hujah beliau.

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan, MAIWP bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan Victoria untuk beramal sebagai peguam syarie atas alasan wanita itu bukan beragama Islam.

Terdahulu Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas) pada 17 Mac 2013 juga telah memutuskan MAIWP boleh mengenakan syarat sebelum menerima masuk peguam syarie dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment