Translate

Friday, August 7, 2015

Beri kuasa eksekutif kepada SKMM akses komputer individu


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dicadang agar diberi lebih kuasa eksekutif untuk memperolehi akses terhadap komputer peribadi dan cakera keras individu yang disyaki menyebar berita palsu dan fitnah di media sosial tanpa mendapat waran mahkamah.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, isu yang sering timbul bagi menguatkuasakan peraturan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 ialah kesukaran SKMM untuk mendapatkan bukti relevan bagi mendakwa individu yang disyaki menyebar berita palsu atau fitnah ke muka pengadilan dengan cepat.

“Pasukan penguat kuasa (SKMM) patut diberi kuasa eksekutif untuk mendapatkan maklumat (pelanggaran undang-undang) dari komputer dan cakera keras (orang disyaki).

“Sukar untuk menegakkan penguatkuasaan jika bukti yang dicari telah dihilangkan sewaktu SKMM menunggu untuk mendapat notis atau waran dari mahkamah untuk memeriksa komputer atau cakera keras individu,"kata beliau sebagai mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini agar SKMM memperkemas undang-undang dan meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani penyebaran fitnah di media sosial.

Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri UIAM Rektor universiti itu, Prof. Datuk Seri Zaleha Kamaruddin di Pusat Aktiviti Budaya, UIAM di sini semalam.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom turut berkenan hadir pada majlis berkenaan.

Rais yang juga Presiden UIAM berkata, bukti-bukti kesalahan penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial perlu diperoleh segera bagi membolehkan SKMM mengumpul bahan bukti bagi tujuan pendakwaan.

Dalam perkembangan sama, bekas Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berpendapat, SKMM juga harus lebih tegas dalam menguatkuasakan Seksyen 211 dan 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik dan menggunakan komunikasi elektronik untuk menyebar khbar angin dan berita palsu.

No comments:

Post a Comment