Translate

Friday, August 7, 2015

IWM anjur seminar wasatiyyah bina jati diri hadapi media sosial


PUTRAJAYA - Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) akan menganjurkan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah, Islam dan Generasi Muda : Cabaran dan Harapan di Dewan Jubli Perak, Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang dekat sini pada 18 dan 19 Ogos ini.

Seminar itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengarah IWM, Datuk Mohd. Yusof Din berkata, seminar peringkat antarabangsa kali kedua yang diadakan pihaknya itu akan memberi fokus kepada pembinaan jati diri di kalangan generasi muda untuk berhadapan dengan fahaman ekstremisme yang disebarkan melalui media sosial.

"Pada tahun lalu, kita memberi fokus kepada penghayatan maqasid syariah, namun kali ini isu penggunaan media sosial pula diberi perhatian berikutan penularan fahaman ekstremisme oleh pengganas dengan menggunakan medium itu," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

“Ia merupakan isu semasa dan realiti yang sedang dihadapi dan seminar ini bertujuan untuk melestarikan pembinaan idealisme dan jati diri mereka menerusi pendekatan Islam yang berteraskan wasatiyyah,”

Menurut Mohd. Yusof berkata, IWM menyasar seramai 500 peserta belia terdiri daripada penjawat awam, kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi, anggota pertubuhan politik, pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan serta pekerja swasta akan hadir.

"Sebanyak 12 kertas kerja berkaitan cabaran dan harapan generasi muda Muslim akan dibentangkan oleh intelektual Islam di seluruh dunia," ujarnya.

Antara pembentang ialah Prof. Dr. Basil Mustafa dari Pusat Pengajian Islam Oxford, Britain; Pengerusi Majlis Fatwa Kuwait, Prof. Dr. Mohammad Abdul Razaq Tabtabae dan Timbalan Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat Indonesia, H.M. Hidayat Nur Wahid.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi sekretariat di talian 03-88723522 atau melayari laman web, www.iwm.jpm.my.

No comments:

Post a Comment