Translate

Monday, August 3, 2015

PAC perlu pengerusi untuk mesyuarat


KUALA LUMPUR – Jawatan­kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat termasuk berhubung isu 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) sehingga pengerusi baharu dilantik menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang telah mele­takkan jawatan kelmarin berikutan penyertaannya ke dalam Kabinet.
Speaker Dewan Rak­yat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) berkata, Peraturan Mesyuarat 77(3) yang membenarkan seorang anggota jawatankuasa dipilih mempengerusikan mesyuarat sekiranya ketiadaan pengerusi dan naib pengerusi atas sebab keuzuran atau sebab lain tidak boleh dipakai dalam situasi pada masa ini.
“Peruntukan itu hanya boleh digunakan dalam hal ketidakha­diran pengerusi atau naib pengerusi kerana sebab-sebab tertentu bukannya atas sebab pengosongan jawatan.
“Lagipun wajar mesyuarat PAC diadakan selepas jawatan pengerusi baharu diisi bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan isu berbangkit berhubung kesahihan prosiding PAC sekiranya ia tetap diteruskan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Beliau mengulas kenyataan Naib Pengerusi PAC, Dr. Tan Seng Giaw yang mendakwa mesyuarat PAC masih boleh diteruskan biarpun tanpa kehadiran empat anggota yang telah meletak jawatan bagi memboleh membolehkan mereka menyertai Kabinet dalam rombakan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lalu.

Seng Giaw mendakwa, PAC masih mempunyai korum mencukupi iaitu sekurang-kurangnya sembilan orang untuk melakukan pendengaran mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berpendapat siasatan terhadap 1MDB perlu diteruskan segera walaupun tanpa empat anggota PAC terbabit termasuk bekas pengerusinya, Nur Jazlan.

Pandikar Amin menegaskan, selain Nur Jazlan yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, tiga lagi kekosongan anggota PAC melibatkan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) turut perlu diisi sebelum mesyuarat PAC dapat dijalankan.

No comments:

Post a Comment