Translate

Monday, April 23, 2012

Kilang LNG bernilai RM153.5 juta di Manjung

IPOH - Syarikat pembekalan gas cecair asli (LNG),  Atigas   Technology  Sdn. Bhd. ( Atigas ) bercadang untuk membangunkan sebuah kilang LNG di tapak seluas 60 hektar di Tanjung Hantu, Segari, Manjung.

Pengarah Urusannya, Tang Hock Leng berkata, pembinaan kilang LNG yang dianggarkan bernilai RM153.5 juta itu dijangka beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang.

" Atigas  bakal bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Guangdong, China, Zhu Hai Gong Tong Mechanical Equipment Co. Ltd. (Zhu Hai Gong Tong) untuk membangunkan kilang terbabit.

"Kilang itu bakal mempunyai 10 tangki LNG yang mampu membekalkan kira-kira 50,000 meter padu LNG sebulan," katanya selepas menandatangani memorandum perjanjian dengan Zhu Hai Gong Tong yang diwakili Pengarah Urusannya, Wu Zhiming di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Hock Leng menjelaskan, susulan daripada projek kerjasama strategik tersebut, Zhu Hai Gong Tong akan memindahkan teknologi pemulihan gas karbon dioksida kepada syarikatnya.

Menurut beliau, teknologi terbabit mampu memproses gas karbon dioksida yang merupakan sebahagian sisa industri LNG menjadi cecair dan kemudiannya boleh dimanfaatkan dalam penghasilan baja dan makanan.

"Ia membantu kami mengurangkan pencemaran malah mampu menjana keuntungan kepada syarikat," katanya.

Tambah Hock Leng, teknologi berkenaan telah dipraktikkan di negara maju sejak enam tahun lalu, namun, tidak diamalkan di negara ini kerana kos pembangunannya yang terlampau tinggi.

Namun, menurutnya, Zhu Hai Gong Tong telah menawarkan kos pemasangan sistem pemulihan karbon dioksida dengan kadar lebih berpatutan.

2 comments: