Translate

Wednesday, March 21, 2012

Tauke arowana hadapi 21 kes penipuan tanah


TAIPING - Seorang pengusaha ternakan ikan arowana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 21 tuduhan memalsukan dokumen tukar milik tanah seluas 29.16 hektar di Semanggol dekat sini pada 2005.

Ahmad Don, 58, yang merupakan Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. yang beroperasi di Bukit Merah, Bagan Serai dituduh menggunakan Surat Kuasa Wakil palsu bagi menjual 36 lot tanah terbabit yang dianggarkan bernilai RM396,000 kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan pemilik sebenar.

Berdasarkan fakta kes, 36 lot tanah itu adalah milik 21 penduduk Kampung Selamat, Semanggol yang dikatakan hendak diusahakan sebagai ladang kelapa sawit menerusi projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Ahmad yang bertindak sebagai broker tanah telah menjual semua tanah terbabit kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan penduduk.

Tertuduh dari Simpang Empat, Semanggol didakwa menggunakan Surat Wakil Kuasa palsu bagi membolehkan Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Parit Buntar memberi kelulusan permohonan pindah milik tanah berkenaan.

Dia yang mempunyai 12 anak daripada empat isteri dituduh melakukan kesalahan itu dari 28 April 2005 hingga 4 Jun tahun sama.

 Setiap lot tanah terlibat berukuran 0.81 hektar dan dijual pada harga RM11,000 mengikut nilai semasa tahun berkenaan.

Ahmad  yang berbaju kotak merah kelihatan tenang dan hanya menggelengkan kepala tanda tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan pada setiap kali 21 pertuduhan itu dibacakan.

Dia dituduh di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam, P. Ravee manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Ahmad  Sazili Abdul Khairi.

Hakim Azuar Che Yusof membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes.

1 comment: