Seorang wanita warga Sri Lanka ditemui sedang merayau-rayau dalam tidak terurus di tepi jalan di Buntong Jaya di sini semalam oleh orang ramai awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, wanita terbabit kemudiannya dibawa ke rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam oleh beberapa penduduk setempat setelah dia gagal berkomunikasi secara jelas.
Sivasubramaniam berkata, setelah ditenangkan, wanita itu memberitahu identitinya sebagai Inqumathe Ashanthe Latha, 26, yang berasal dari Sri Lanka.
"Dia memberitahu bekerja sebagai pembantu rumah dan telah bekerja selama lapan bulan dengan sebuah keluarga di Taman Rishah di sini. Namun dia mendakwa dihalau tanpa sebab oleh majikannya tengah malam semalam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menemani Inqumathe membuat laporan polis di Balai Polis Buntong di sini semalam.
Sivasubramaniam berkata, berdasarkan pemerhatiannya wanita tersebut mengalami deraan mental dan hanya boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Sementara itu, Inqumathe mendakwa majikannya tidak pernah menjaga kebajikannya termasuk hanya memberi makan sehari sekali selain sering memaksanya membuat kerja-kerja berat tanpa belas kasihan.
Beliau juga mendakwa didera secara mental dan fizikal oleh majikannya yang merupakan seorang pemandu lori dan semua dokumen perjalanan miliknya dirampas.
"Saya sudah tidak mahu bekerja di sini dan mahu pulang ke negara asal," katanya.
Sehubungan itu, Sivasubramaniam berkata, beliau akan merujuk kes tersebut kepada Jabatan Imigresen untuk menguruskan penghantaran pulang wanita itu selain mengenal pasti majikan dan agensinya.
"Biarpun saya diberitahu dia bekerja di negara ini dengan menggunakan permit kerja yang sah, saya tidak pasti punca sebenar dia dihalau majikannya.
"Apa pun kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan terpulang kepada agensi itu untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan susulan," katanya.
No comments:
Post a Comment