Translate

Thursday, April 16, 2009

Bayaran RM105.60 bawa tuah


IPOH - Kesediaan seorang pesara membayar cukai taksiran untuk tempoh setahun membawa tuah kepadanya apabila memenangi hadiah utama cabutan khas cukai taksiran 2009 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Rusidi Saari, 54, membawa pulang sebuah televisyen LCD 42 inci bernilai RM3,999 dalam cabutan bertuah yang dilakukan Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim.

Beliau yang tinggal di Taman Meru 2B, Jelapang di sini berkata, biarpun merupakan pembayar cukai taksiran setia sejak 24 tahun lalu, tetapi sejak tahun lalu sahaja hatinya tergerak untuk membuat pembayaran penuh setahun iaitu sebanyak RM105.60.

"Sebelum ini, saya membayar cukai berkenaan untuk setengah tahun sahaja. Tak sangka menang pula hadiah utama kali ini.

"Berbaloi juga biarpun saya terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum dapat membayar cukai taksiran di kaunter MBI yang sesak dengan pelanggan awal Januari lalu," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah berkenaan di lobi Bangunan MBI di sini semalam.

Selain Rusidi, seramai 19 pembayar cukai taksiran MBI bertuah lain turut memenangi pelbagai hadiah seperti set sofa, set komputer, peti ais dua pintu dan set mesin basuh yang disampaikan Roshidi.

Cabutan bertuah ini terbuka kepada pembayar cukai taksiran MBI yang membuat pembayaran setahun tanpa tunggakan dari 1 Januari hingga 30 Mac lalu.



No comments:

Post a Comment