MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Lebih 130 keluarga di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) 10 Fasa 1, Ulu Chepor dekat sini bimbang kemungkinan rumah mereka akan ditenggelami air berikutan limpahan bekas lombong berhampiran.
Seorang penduduk, Hashim Baharom Shah, 70, berkata, sejak sebulan lalu, setiap kali hujan lebat, air bekas lombong berdekatan akan naik sehingga kira-kira setengah meter dan bertakung di halaman rumahnya.
"Mujur tembok pagar rumah saya agak tinggi, tak masuklah air itu ke dalam rumah, tetapi setakat hari ini 15 rumah termasuk kediaman saya terjejas.
"Saya sudah menetap di sini lama tapi masalah ini cuma berlaku sejak sebulan lalu. Sebelum ini, air bekas lombong itu tidak pun melimpah sebaliknya mengalir terus ke Sungai Pari berhampiran," katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Ahmad, 62, mendakwa masalah itu berpunca daripada kerja-kerja projek pembinaan taman perumahan baru dan perusahaan kuari berhampiran.
"Kami dapati sisa tanah yang dikorek oleh pengusaha kuari dan pemaju perumahan terbabit mendap di dalam bekas lombong itu hingga menyebabkannya semakin cetek.
"Selain itu, pembinaan ban oleh pihak sama menyebabkan air di situ tidak dapat mengalir ke Sungai Pari seperti biasa dan melimpah pula di kawasan berhampiran," katanya.
Mohd. Azahari Ala, 43, pula menggesa pihak bertanggungjawab agar segera mencari jalan penyelesaian kerana keadaan pada masa ini agak serius dan setakat ini limpahan air bekas lombong berkenaan telah menenggelamkan banyak kawasan termasuk rizab jalan dan tapak surau kawasan perumahan itu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang menerima aduan penduduk datang melawat ke kawasan berkenaan untuk melihat sendiri masalah yang timbul.
Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, beliau akan meminta pihak berkenaan membaiki sistem perparitan di situ agar limpahan air bekas lombong dapat mengalir semula ke Sungai Pari.
"Selain itu, saya akan memanggil wakil penduduk, wakil pemaju perumahan dan kuari, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pejabat tanah untuk duduk semeja esok (hari ini).
"Bagi saya kita tidak perlu menyalahkan satu sama lain tetapi yang penting berbincang untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
No comments:
Post a Comment