Bagaimanakah kayu bakau diproses untuk dijadikan kayu arang?
BERCERITA tentang dapur membakar kayu arang berbentuk iglu itu, pekerja kilang C.K Choo dan Anak-Anak Sdn. Bhd, Alias Abdul Rahman memberitahu, ia dibuat secara manual dengan mengunakan kira-kira 22,000 batu-bata merah yang dicampurkan sedikit tanah lumpur, air dan pasir.
Batu-bata yang diperbuat daripada tanah liat itu mampu menyerap suhu api yang tinggi semasa proses pembakaran.
"Proses pembuatan sebuah dapur secara manual biasanya memakan masa antara tiga hingga enam bulan untuk disiapkan.
"Kitaran dapur tradisional itu bertahan selama kira-kira lapan hingga sembilan tahun. Selepas itu ia runtuh sendiri secara semula jadi dan sebuah dapur baru perlu dibina semula," katanya.
Berbalik kepada proses penghasilan kayu arang, Alias berkata, sesudah kayu bakau terbabit siap disusun, Alias menerangkan pintu dapur itu akan ditutup dengan timbunan batu bata.
Beliau berkata, selepas itu, api akan dinyalakan dan proses itu merupakan tahap pertama pembakaran kayu arang. Ia ia dinamakan api besar.
"Proses api besar memakan masa selama kira-kira 10 hari. Pada masa itu, suhunya akan sentiasa dikawal sekitar 85 darjah Celsius.
"Api besar bertujuan mengeringkan air kayu bakau yang terkandung di dalam batangnya," kata Alias.
Seorang lagi pekerja, Mohd. Yatim Osman, 49, pula mencelah, proses seterusnya dipanggil api kecil dan ia juga mengambil masa kira-kira 10 hari.
Beliau yang menghambakan diri dalam industri pembuatan kayu arang sejak berusia 18 tahun berkata, kayu bakau yang dikumpul akan terus dibakar dengan api kecil sehingga ia benar-benar menjadi arang.
"Pada ketika ini, suhu di dalam dapur itu akan mencecah sehingga 220 darjah Celsius. Untuk mengetahui sama ada kayu arang itu sudah masak ataupun sebaliknya, kami akan menghidu bau yang terhasil daripada asap yang keluar dari lubang kecil yang terdapat di atas setiap dapur," katanya.
Setelah kayu arang yang dibakar itu benar-benar masak, api akan dipadamkan dan pintu dapur terbabit akan ditutup dengan menggunakan simen.
Kayu arang terbabit akan dibiarkan sejuk selama 10 hari lagi dan proses tersebut dinamakan sebagai kedap dapur.
"Proses membakar kayu bakau untuk dijadikan arang memakan masa hampir sebulan. Ketika dimasukkan ke dalam dapur, beratnya kira-kira 40 tan tetapi setelah selesai ia akan menyusut menjadi lebih kurang 15 tan," katanya.
Mohd. Yatim berkata, kayu arang yang sudah siap akan dikeluarkan oleh pekerja yang kebanyakannya wanita.
Kayu arang tadi kemudian dibungkus dengan kertas khas yang ditimbang sebanyak lima kilogram (kg) setiap bungkus. Ia dijual pada harga kilang RM4.50 setiap satu.
Selain kayu arang yang menjadi produk asas, serpihan kayu arang juga dijual untuk dijadikan medium penanaman orkid.
Mungkin ramai tidak tahu, habuk yang terhasil daripada pembakaran kayu arang juga ada gunanya dan boleh dijual.
Mohd. Yatim memberitahu, habuk atau abu arang itu boleh dijadikan baja organik yang cukup subur untuk tanaman kontan terutama kelapa sawit, serai dan pisang.
"Abu arang memang sesuai dijadikan alternatif kepada baja kimia mahupun organik kerana selain harganya yang murah, ia bebas daripada pencemaran bau dan selamat digunakan.
"Kalau tidak percaya lihat tanaman serai itu. Ia menggunakan seratus peratus baja daripada abu arang," katanya sambil menunjukkan serai yang merimbun subur di belakang kilang arang berdekatan.
Beliau berkata, kalau kena gayanya, habuk arang itu boleh menjadi produk terbaru kilang arang Kuala Sepetang yang boleh dikomersialkan.
Pada masa kini, sebakul abu arang yang seberat kira-kira 10 kg dijual pada harga RM4 dan ia sudah mula digunakan di ladang-ladang kelapa sawit berdekatan. - MOHD. AZLI ADLAN
No comments:
Post a Comment