IPOH - Peniaga di pasar awam sekitar bandar raya ini terutamanya Pasar Kampung Simee dan Gunung Rapat di sini diminta menyokong cadangan kerajaan negeri untuk membina semula bangunan pasar terbabit.
Penasihat Menteri Besar Perak untuk Komuniti Cina, Datuk Chang Ko Youn berkata, pembinaan semula bangunan pasar berkenaan adalah suatu keperluan memandangkan kemudahan tersebut telah uzur dan terletak di lokasi tidak sesuai.
"Segelintir peniaga terbabit kurang senang dengan cadangan tersebut kerana bimbang perniagaan akan merosot dan sudah terbiasa berniaga di premis berkenaan sejak berpuluh-puluh tahun.
"Saya nasihatkan mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri telah mengambil kira segala aspek sebelum melaksanakan projek tersebut," katanya selepas merasmikan Kempen Masyarakat Penyayang di Rumah Orang-Orang Tua Kampung Simee di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi segelintir peniaga pasar awam terbabit yang kurang senang dengan cadangan kerajaan negeri untuk membina semula lima pasar awam di bandar raya ini termasuk Pasar Kampung Simee dan Gunung Rapat.
Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sebelum ini mengumumkan cadangan pembinaan semula pasar awam tersebut yang melibatkan kos kira-kira RM25 juta berdasarkan maklum balas penduduk tempatan yang mahukan perubahan itu.
Ko Youn berkata, pembinaan semula awam itu perlu untuk memberi imej baru dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mendatangkan manfaat jangka panjang terhadap golongan peniaga terbabit.
Beliau berkata, peniaga terbabit perlu sedar sejak kebelakangan ini sudah ada trend pengguna memilih untuk membeli barangan keperluan termasuk ikan dan sayur di pasar raya besar.
"Jika perubahan tidak dilakukan di pasar-pasar awam, dalam beberapa tahun lagi, peniaga terbabit akan kehilangan pelanggan yang beralih arah kepada pasar raya besar," katanya.
No comments:
Post a Comment