Translate

Saturday, April 4, 2009

Ismail terus dapat sokongan padu

TAIPING - Masuk hari kelima kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian (gambar) mungkin sudah boleh tersenyum kecil setelah sokongan pengundi kepadanya semakin meningkat.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, sokongan pengundi Melayu semakin mengukuh sementara pengundi Cina dan India pula kian menerima BN.

"Alhamdulillah saya diterima baik. Memang dari dulu lagi majoriti pengundi Melayu Bukit Gantang menyokong BN dan trend sekarang menunjukkan sokongan mereka semakin besar.

"Semakin ramai pengundi Cina dan India menunjukkan minat untuk kembali kepada kita berikutan beberapa sesi penerangan sebelum ini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir dan warga emas yang sudah uzur di Kampung Jelapang Jaya dan Simpang Halt, Simpang dekat sini semalam.

Ismail berkata, sebagai anak tempatan, beliau faham pengundi Bukit Gantang lebih mahukan wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka daripada terpengaruh dengan isu-isu nasional.

"Setiap hari saya menemui seramai mana pengundi untuk mendengar rintihan dan harapan mereka terhadap seorang wakil rakyat dengan seikhlas mungkin," jelasnya.

Beliau yakin penduduk di kawasan Bukit Gantang sudah faham isu yang dicanangkan pembangkang kerana mereka sudah merasai keperitan apabila nasib mereka kurang terbela sepanjang 11 bulan pembangkang mewakili kawasan itu.

No comments:

Post a Comment