Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan pihak polis, sebanyak 1,206 kes jenayah membabitkan rompak dan ragut dicatatkan sepanjang bulan Januari hingga pertengahan bulan ini di Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu lebih 100 kes berlaku di Jalan Changkat Thambi Dollah.
Kadar itu menyaksikan peningkatan lebih 100 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 606 kes.
Senario itu menyebabkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai ‘kawasan hitam’. Kes terbaru melibatkan seorang pelajar sebuah kolej, Loo Kai Jun, 20, yang dipukul sekumpulan lelaki pada 4 April lalu.
Menurut Kai Jun, insiden itu bermula semasa dia menunggu bas kira-kira pukul 7 malam sebelum dikerumuni sekumpulan lelaki.
“Seingat saya, sekumpulan 20 orang meluru ke arah saya dan memukul kepala saya dengan batang besi kerana ingin mencuri dompet saya. Saya melarikan diri tapi malangnya terjatuh di atas jalan raya. Mereka beredar apabila muncul seorang lelaki menolong saya yang ketika itu berlumuran darah,’’ jelasnya.
Bagaimanapun, lelaki yang menyelamatkannya itu rupa-rupanya ‘dua kali lima’ kerana dia juga penjenayah.
“Selepas membawa saya ke hospital, lelaki itu kata pada jururawat hospital kononnya dia seorang polis, jadi saya memberinya dompet saya yang mengandungi MyKad, wang RM23, tiket bas kolej selain menyerahkan telefon bimbit dan baju kepadanya semasa saya menjalani pemeriksaan X-ray.
“Apabila semuanya selesai, saya mencari lelaki itu tetapi dia menghilangkan diri,’’ ujar Kai Jun ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Kai Jun, dia membuat laporan polis sejurus kejadian dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Sementara itu, ketakutan juga menyelubungi peniaga di kawasan berkenaan dan ia diakui sendiri oleh salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ella yang mendakwa khuatir dicederakan penjenayah.
Gara-gara itu, katanya. ada di kalangan mereka yang sebelum ini menjalankan perniagaan 24 jam terpaksa menutup kedai awal terutama pada Sabtu.
``Satu ketika, ada di antara mereka menyamar masuk ke restoran untuk makan tapi tiba-tiba meluru datang ke dapur mencuri pisau dan menghunus pisau ke badan pelanggan untuk minta wang.
``Ada juga yang memberontak dan membaling batu ke arah peniaga untuk menunjukkan mereka berkuasa di kawasan berkenaan,’’ katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini se malam.
Di Johor, kadar jenayah sepanjang tahun ini sehingga 16 April lalu didapati menurun sebanyak 1,201 kes atau 14.07 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penurunan ketara kes jenayah terutama kes curi motosikal iaitu dari 642 kes berbanding 3, 408 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu merupakan hasil kejayaan pihaknya membanterasnya.
Jelasnya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 6,968 kes di laporkan dan 2,984 daripadanya berjaya diselesaikan.
Bagi Perak, kadar indeks jenayah turun sebanyak 2.16 peratus sepanjang 2008 berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 12,859 kes, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah.
Berbeza di Pahang, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kadar jenayah kekerasan di daerah itu bagi tempoh Januari hingga November 2008 menunjukkan peningkatan 92 kes atau 7.9 peratus dengan 1,254 kes berbanding 1,162 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Di Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid berkata, indeks jenayah di Georgetown sepanjang tiga bulan pertama tahun ini turun sebanyak 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
No comments:
Post a Comment