Translate

Saturday, November 25, 2023

‘Parlimen beri pada BN’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN KEMAMAN – Parlimen Kemaman bakal menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Persekutuan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) diberi mandat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2 Disember ini. 

 Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebelum ini, tiada seorang pun wakil Kerajaan Perpaduan dalam semua lapan kerusi Parlimen di negeri ini begitu juga 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. 

 “(Parlimen) Kemaman ini satu-satunya (boleh menjadi) jambatan penghubung antara kerajaan negeri (diterajui Pas) dan kerajaan Pusat kalau (calon BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menang. 

 “Saya harap jangan dibakar satu-satunya jambatan perhubungan ini,” katanya ketika berceramah sempena PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Felda Cherul, di sini semalam. 

Ahmad berkata, pengundi Kemaman sewajarnya membuat keputusan strategik memilih BN mewakili mereka di Dewan Rakyat agar berpeluang mendapat manfaat kemakmuran berganda di kawasan Parlimen tersebut. 

 Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, ia disebabkan empat DUN di dalam Parlimen Kemaman iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih kini sudah dikuasai Pas. 

 “Kita berbahagi, negeri (DUN) bagi Pas, Pusat (Parlimen) bagi BN. (Orang) Kemaman untung, (peruntukan) dua-dua dapat. 

 Jika Menteri Besar Terengganu (calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) menang, dia masih jadi pembangkang (di Parlimen) tetapi kalau Tan Sri Jeneral (Raja Mohamed Affandi) menang, dia akan duduk sebelah kerajaan (Pusat) dan dapat segala manfaat (peruntukan),” katanya. 

 Tambahnya, kemenangan BN yang merupakan sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan pada PRK Parlimen Kemaman pasti akan merancakkan semula pembangunan di kawasan itu.

Friday, November 24, 2023

Siap sedia hadapi banjir luar jangka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersiapsiaga menghadapi kemungkinan banjir di luar kebiasaan yang semakin sukar diramal pada musim tengkujuh tidak lama lagi. 

 Pengarah JBPM Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, berdasarkan trend beberapa tahun kebelakangan ini, situasi banjir di negeri ini sukar untuk dijangka. 

 “Banjir di Terengganu sejak akhir-akhir ini kawasan yang terjejas tidak statik dan sering berubah-ubah.

 “Kawasan yang banjir teruk pada tahun lalu tidak semestinya alami masalah sama pada tahun ini tetapi (bah besar) di tempat lain pula,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan JBPM Terengganu di sini semalam. 

 Dalam majlis itu, seramai 25 pengamal media termasuk Kosmo! yang terlibat dalam operasi tragedi Jeram Mawar, Kemaman yang mengorbankan 10 nyawa sekeluarga pada awal bulan Julai lalu turut menerima sijil penghargaan daripada JBPM negeri. 

 Sehubungan itu, Hassan ‘As’ari berkata, semua 690 anggota di 17 balai bomba telah dikerah agar sentiasa bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir di seluruh negeri ini. 

 Beliau berkata, kekuatan JBPM Terengganu juga akan disokong oleh 287 anggota daripada 10 pasukan bomba sukarela bagi menghadapi operasi monsun Timur Laut. 

 “Ikutkan data sebelum ini, sebanyak 192 kawasan di seluruh lapan daerah di negeri ini telah dikenal pasti berisiko banjir pada musim tengkujuh dijangka bermula pada bulan depan.

 “Begitupun, kita akan turut memberi fokus kepada Kuala Berang (Hulu Terengganu) dan beberapa lokasi di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman yang turut berpotensi dilanda banjir,” katanya.

 Dalam perkembangan berkaitan, Hassan ‘As’ari berkata, JBPM Terengganu akan menggerakkan 38 bot, kenderaan utiliti (26) dan lori (lapan) bagi operasi penyelamatan musim tengkujuh kali ini. 

 Tambah beliau, latihan simulasi sedang giat dilakukan bersama agensi-agensi penyelamatan lain bagi melicinkan misi musim tengkujuh kelak.

 “Sekiranya keadaan (banjir) kelak teruk, JBPM negeri akan membekukan cuti tahunan anggota bagi memberi fokus sepenuhnya kepada operasi penyelamatan mangsa,” katanya.

Pantai Timur mula dilanda banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, KAMALIZA KAMARUDDIN dan TOREK SULONG 

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di negeri-negeri di Pantai Timur semakin buruk apabila lebih 2,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah dinaiki air.

 Terengganu menjadi negeri paling terjejas apabila lima buah daerah dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu. Daerah Marang dan Besut menjadi daerah terbaharu yang dinaiki air selain Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu. 

Lebih memburukkan keadaan apabila banjir kini merebak ke Kelantan yang menyaksikan tiga PPS dibuka iaitu masing-masing dua di Pasir Puteh dan satu di Bachok.

Di Terengganu, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 4 petang, seramai 2,751 mangsa daripada 735 keluarga terpaksa berpindah ke PPS. 

 Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 18 PPS telah beroperasi di lima daerah terjejas.

 “Kuala Nerus paling terjejas dengan 1,105 mangsa daripada 297 keluarga berada di tujuh PPS.

 “Seramai 771 mangsa daripada 228 keluarga pula berada di empat PPS di Kuala Terengganu,” katanya di sini semalam. 

Tambahnya, seramai 596 mangsa daripada 152 keluarga pula berada di dua PPS di Marang. 

“Dua PPS telah beroperasi di Setiu dengan 26 mangsa daripada enam keluarga sedang mendapatkan perlindungan.

 “Seramai 253 daripada 54 keluarga pula berada di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut,” katanya. 

 Di Kelantan, seorang ibu tunggal dan dua anaknya menjadi mangsa banjir pertama di negeri ini yang dipindahkan ke PPS iaitu di SK Dalam Rhu, Pasir Puteh selepas rumah mereka di Kampung Pachakan di sini ditenggelami air sejak semalam. 

Kerja-kerja menyelamatkan tiga beranak itu dilakukan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali, pukul 6.31 pagi semalam. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, lokasi rumah mangsa yang terletak di kawasan rendah sekali gus mudah ditenggelami akibat hujan lebat selain tempias fenomena air pasang besar. 

“Operasi menyelamat mangsa banjir diketuai komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd. Zamri Yajid bersama enam anggota dari BBP Tok Bali,” katanya. 

Setakat pukul 3 petang semalam, sebanyak tiga PPS dibuka di Pasir Puteh iaitu di SK Dalam Rhu (42 mangsa), SK Wakaf Raja (30 penduduk) dan di SK Jelawat (7 mangsa). Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu sehingga Jumaat ini. 

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, Amaran Hujan Berterusan (Buruk) di Kelantan melibatkan kawasan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh. 

 Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan di negeri-negeri utara sehingga Khamis ini. 

 “Amaran Hujan Berterusan (Waspada) ini melibatkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) serta Pulau Pinang. “Seterusnya, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Manjung),” menurut kenyataan itu semalam. 

Dalam pada itu, keadaan banjir di Perak semakin pulih apabila hanya 39 mangsa banjir kini ditempatkan di PPS iaitu melibatkan SK Alor Pongsu di Kerian.