Translate

Wednesday, May 17, 2017

AirAsia lancar laluan baharu, Kuala Terengganu - Johor Bahru bermula 22 Jun depan


KUALA TERENGGANU - Syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia Berhad (AirAsia) melancarkan laluan baru Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor yang bakal bermula 22 Jun depan.
Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, buat permulaan, laluan baru antara Kuala Terengganu dan Johor Bahru tersebut akan dihubungkan dengan kekerapan tiga penerbangan seminggu.
"Jabatan Penerbangan Awam telah meluluskan jadual penerbangan kedua-dua hala antara LTSM dan LTAS pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Penerbangan dari LTAS akan berlepas pada pukul 1.45 petang dan dijangka tiba di LTSM pada pukul 2.50 petang.
"Penerbangan dari LTSM pula akan berlepas pada pukul 3.15 petang dan dijangka tiba di LTAS pada pukul 4.20 petang," katanya selepas menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE

Kastam Terengganu rampas 1.2 juta rokok seludup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya mematahkan percubaan sindiket untuk menyeludup 1.2 juta batang rokok seludup bernilai RM864,960 di Kampung Petaling, Kuala Nerus semalam.
Dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu, pemandu lori yang membawa 6,000 karton rokok jenama League berkenaan telah bertindak meninggalkan kenderaannya di tengah jalan untuk melarikan diri selepas lebih lima kilometer dikejar pasukan penguat kuasa KDRM Terengganu.
Pengarah Kastam Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kegiatan membawa masuk rokok seludup yang akan melalui negeri ini dari Thailand pada Jumaat lalu.
"Kemungkinan mengetahui sedang diburu, pemandu lori itu dipercayai bertindak bersembunyi di sempadan Kelantan-Terengganu selama tiga hari sebelum di kesan berada di daerah Kuala Nerus pada pagi semalam.
"Walaupun menukar modus operandi dengan bergerak pada waktu siang dan melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 namun ia gagal untuk mengaburi mata pasukan penguat kuasa KDRM," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan KDRM Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Nidzam layak jadi ketua jurulatih Kedah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak perlu pening kepala mencari mengganti Tan Cheng Hoe kerana pengendali sementara, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff dilihat mampu memikul tugas tersebut.

Kewibawaan jurulatih ber­usia 49 tahun itu mula terserlah selepas berjaya mencapai misi skuad Helang Merah me­langkah ke pentas akhir Piala FA 2017 pada 20 Mei ini selepas menumbangkan Terengganu menerusi agregat 4-0 pada peringkat separuh akhir.

Nidzam berkata, beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah sekiranya mendapat kepercayaan daripada KFA.
“Setakat ini saya diamanahkan untuk memangku tugas sahaja dan terpulang kepada pihak pengurusan (KFA) untuk menilai dan menentukan masa depan saya.

“Saya tidak menjangkakan (ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih) tetapi sekiranya diberi ke­percayaan, saya akan sahut cabaran itu,” kata Nidzam ketika ditemui selepas aksi separuh akhir kedua menentang Te­rengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Nidzam berkata, beliau sedar sebagai salah sebuah pasukan elit dalam Liga Malaysia, KFA sudah pastinya mahu memilih jurulatih yang mempu­nyai nama besar dan berprofil tinggi.

Sehubungan itu, bekas pembantu jurulatih Cheng Hoe tersebut menegaskan, beliau tidak terlalu memikirkannya kerana mahu memberi tumpuan penuh membimbing Kedah mengekalkan reputasi yang dimiliki pada masa ini.

“Fokus utama saya adalah untuk menjulang Piala FA pada 20 Mei nanti, sekali gus membawa pulang piala itu yang kali terakhir kami menangi pada tahun 2008,” katanya.

Kosmo! sebelum ini me­laporkan, KFA tidak menolak kemungkinan menaikkan pangkat Nidzam sebagai ketua jurulatih selepas persatuan itu menerima peletakan jawatan Cheng Hoe baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar  ber­kata, keputusan tersebut bakal diambil sekiranya Nidzam dapat membuktikan kemampuannya dalam beberapa perlawanan selepas ini termasuk aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA menentang Terengganu.