Translate

Wednesday, June 29, 2011

Gajah musnah tanaman penduduk ditangkap

GERIK - Kebimbangan penduduk Kampung Tawai dekat sini dengan masalah serangan gajah yang bertindak memusnahkan tanaman mereka sejak beberapa bulan lalu berakhir dengan penangkapan seekor gajah jantan kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Mohd. Shariff berkata, gajah subdewasa seberat satu tan itu berjaya ditangkap Unit Tangkap Gajah (UTG) setelah didapati berkeliaran di belakang sebuah rumah penduduk Sabtu lalu.

“Sebelum ini, Perhilitan Perak menerima banyak aduan daripada penduduk kampung tentang tanaman kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan di usahakan mereka dimusnahkan gajah.

“Anggota kita telah terserempak dengan seekor gajah jantan berkeliaran di belakang sebuah rumah penduduk pada pukul 6 petang sebelum bertindak menembak dengan menggunakan ubat pelali,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Shabrina berkata, gajah yang mempunyai ukuran tapak kaki se besar 33.02 sentimeter (sm) itu berjaya dijinakkan pada 8.30 malam sebelum dirantai.

“Gajah jantan berkenaan telah dilepaskan semula di habitat asalnya di Hutan Simpan Papulut. Kita percaya dianggarkan tujuh ekor gajah menghuni hutan simpan tersebut yang terletak berhampiran Kampung Tawai.

“Sebelum ini, UTG pernah menangkap seekor gajah jantan lain yang berkeliaran di kampung sama pada Jun tahun lalu,” katanya.

Tuesday, June 28, 2011

Dua lelaki Myanmar dicari polis

TAPAH - Polis mencari dua lelaki Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang pekerja Bangladesh di sebuah ladang ternakan ayam di Air Kuning dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ah mad berkata, Hla Kyaw Sein dan Nyunt Win dipercayai telah melarikan diri ke Kuala Lumpur sebaik Abdul Salam, 36, dibunuh pada pukul 11 malam.

“Kedua-dua lelaki Myanmar berusia 36 tahun itu merupakan rakan sekerja mangsa di ladang tersebut. Polis telah menemui sebatang kayu yang digunakan untuk memukul kepala mangsa," katanya.
Tambahnya, motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki itu supaya menghubungi balai polis terdekat.

Monday, June 27, 2011

Guna teknologi laser terkini rawat rabun dan ketarak

IPOH - Individu yang mempunyai masalah rabun dan ketarak mata kini boleh menjalani rawatan pembetulan penglihatan dalam jangka masa sesingkat 10 minit sahaja di Pusat Mata Lee di sini.

Pengerusi Pusat Mata Lee, Datuk Dr. Lee Yow Chan berkata, pusat optalmologinya menawarkan perkhidmatan pembedahan mata dengan teknologi laser terkini menerusi mesin Wavelight Refractive Suite.

“Pusat Mata Lee merupakan satu-satunya pusat optalmologi di rantau ini yang menggunakan mesin terbabit yang bernilai kira-kira RM3.9 juta setelah ia dilancarkan di Eropah pada September lalu.

“Mesin terbabit merupakan platform terpantas di dunia dalam rawatan masalah mata seperti rabun jauh dan dekat, astigmatism serta ketarak mata,” katanya selepas majlis pengenalan mesin terbabit di sini baru-baru ini.

Yow Chan menjelaskan, rawatan pembetulan penglihatan dengan mesin Wavelight Refractive Suite selamat dan tidak menyakitkan.

Menurutnya, rawatan teknologi laser terbabit diadakan dalam tempoh singkat dan keputusannya dapat diketahui selepas itu maka pelanggan tidak akan dibebani dengan prosedur pembetulan berulang.

“Ia alternatif terbaik buat individu masalah penglihatan yang mahu bebas daripada bergantung sepenuhnya dengan cermin mata dan kanta lekap.

“Malah ia juga mampu membantu memnyelesaikan ma salah mereka yang gagal memperolehi keputusan memuas kan daripada prosedur pembedahan lasik dan ketarak yang konvensional,” katanya.

Yow Chan berkata, kos rawatan pembetulan mata dengan mesin Wavelight Refractive Suite juga adalah berpatutan iaitu sekitar RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada tahap ke sihatan mata pelanggan.