Translate

Wednesday, July 10, 2024

Pagar sahaja tutup 10 malam, balai tetap buka

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Orang ramai diminta supaya tidak keliru dengan arahan penutupan pintu pagar balai polis di seluruh negara pada pukul 10 malam kerana premis itu akan tetap beroperasi dan menerima kehadiran orang ramai walaupun lewat malam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, prosedur operasi standard menutup pintu pagar balai polis itu bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan insiden serangan Balai Polis Tiram, Johor pada 17 Mei lalu berulang.

“Tutup pagar bukan tutup balai polis. Kalau orang awam hendak buat aduan (di balai polis), tentulah anggota (polis) bertugas akan buka pintu pagar.

“Ia untuk kawalan keselamatan, tiada kompromi tugas hakiki balai polis untuk menerima aduan dan sebagainya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri program Ramah Mesra Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot di Dewan Rakyat kelmarin, beliau memberitahu pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas pukul 10 malam.

Beliau berkata, langkah itu diambil dengan mengimbangi keperluan masyarakat dan keselamatan anggota polis selepas dua anggota polis terkorban akibat serangan di Balai Polis Tiram.

Saifuddin Nasution berkata, penutupan pintu pagar selepas pukul 10 malam tersebut melibatkan 810 balai polis di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment