Translate

Thursday, July 11, 2024

Besut dapat klinik kesihatan, jambatan, stesen bas baharu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Penduduk daerah ini khususnya mukim Kampung Raja di sini bakal memiliki kemudahan kesihatan yang lebih baik apabila Klinik Kesihatan Kota Putera mula beroperasi pada 4 Ogos depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, premis kesihatan bernilai RM32 juta tersebut yang telah siap sepenuhnya akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada masa terdekat.

“Projek Klinik Kesihatan Kota Putera ini siap sepenuhnya pada 10 Jun lalu dan ia dibina bagi menggantikan premis lama yang agak uzur serta berkapasiti lebih kecil.

“Ia dijangka mampu memberi perkhidmatan kepada lebih 200 pesakit setiap hari,” katanya selepas meninjau projek Klinik Kesihatan Kota Putera di sini hari ini.

Ahmad berkata, klinik kesihatan tersebut memiliki kemudahan klinik pesakit luar, pakar, ibu dan anak serta pergigian selain X-ray.

Tambah beliau, Klinik Kesihatan Kota Putera yang akan beroperasi itu juga akan menyediakan perkhidmatan memasang brances bagi pesakit menghadapi masalah gigi dan gusi.

Dalam perkembangan sama, Ahmad memberitahu, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan dua projek baharu iaitu pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Besut dan Stesen Bas Jerteh.

Beliau berkata, pembinaan jambatan empat lorong itu bertujuan mengurangkan kesesakan di pusat bandar Jerteh yang kerap berlaku terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan.

“Projek bernilai RM118 juta tersebut kini dalam proses reka bentuk sebelum tender dijangka dikeluarkan pada bulan Mei tahun hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment