Translate

Saturday, July 6, 2024

Ambergris mungkin akan ditakrif bahan dilindungi

 KUALA TERENGGANU -  Jabatan Perikanan Terengganu tidak menolak kemungkinan ambergris yang ditemui seorang pengusaha kedai makan boleh ditakrifkan sebagai bahan hidupan marin yang dilindungi.

Jika perkara itu menjadi kenyataan, wanita yang menjumpai muntah paus tersebut tidak akan menjadi jutawan.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, ikan paus merupakan spesies terancam yang dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Spesies Ikan Terancam 1999.

"Begitupun sama ada muntah ikan paus turut tertakluk dalam definisi bahan ikan paus masih memerlukan tafsiran yang lebih mendalam.

"Apa pun kita telah mengambil sampel objek yang didakwa muntah ikan paus itu hari ini (semalam) untuk dianalisis ketulenannya," kata beliau ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ruzaidi berkata, tindakan lanjut terhadap ketulan batu berlilin yang didakwa ambergris itu hanya akan ditentukan selepas keputusan ketulenan bahan itu disahkan.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai memaklumkan sebarang penemuan objek di laut termasuk muntah ikan paus kepada Jabatan Perikanan.

"Analisis lanjut perlu dilakukan kerana kita risau ia mungkin sisa gumpalah lain yang berbahaya dan mengancam nyawa.

"Dalam kes ini (penemuan ambergris oleh Aida Zurina Long), kita hanya mengetahuinya daripada laporan media," ujarnya.

Ruzaidi berkata, sebelum ini, pihaknya juga tidak pernah menerima sebarang maklumat mengenai penemuan muntah ikan paus di Terengganu.

Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan ia disebab penemuan bahan berharga mencecah jutaan ringgit itu tidak dilaporakn kepada pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment