Translate

Thursday, July 11, 2024

Lelaki maut, motosikal rempuh tiang elektrik

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Honda FS150 ditungganginya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebatang tiang elektrik di Jalan Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.25 pagi itu, mangsa, Muhammad Idzam Erman Osmannizam, 23, yang berasal dari Kampung Gosong Batu 30, Machang, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Idzam Erman dikatakan dalam perjalanan menuju ke Lembah Bidong, Setiu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda FS150 dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebatang tiang elektrik di tepi jalan.

“Impak rempuhan menyebabkan mangsa tercampak di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan Muhammad Idzam Erman telah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment