Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SETIU - Seorang ibu yang sedang hamil empat bulan berdepan detik cemas apabila terpaksa meredah api bersama tiga anaknya bagi menyelamatkan diri selepas rumah sewa mereka terbakar di Kampung Alor Serdang di sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.40 petang itu mengakibatkan segala kelengkapan termasuk baju raya dibeli Nur Hasya Afiqah Azli, 25, bagi menyambut lebaran hangus.
Katanya, ketika kejaidan, suaminya tidak berada di rumah kerana mempunyai urusan perniagaan di Singapura.
"Ketika itu, saya sedang berehat di ruang tamu kerana mengalami alahan mengandung sambil menunggu waktu berbuka puasa.
"Tidak lama kemudian anak sulung berusia lapan tahun memberitahu dia ternampak api dan kepulan asap berhadapan pintu hadapan rumah. Dalam keadaan lemah, saya kuatkan diri untuk memimpin tangan anak bagi menyelamatkan diri," katanya di sini.
Menurut Nur Hasya, kini mereka empat beranak tinggal sehelai sepinggang kerana api marak dengan begitu cepat.
Tambahnya, pakaian raya untuk anak-anaknya yang baru dibeli turut musnah.
"Mujur sebuah kereta dan motosikal milik keluarga sempat dipindahkan dengan bantuan jiran-jiran," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd, Razli Rapiae berkata, sepasukan anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada 5.45 petang.
"Api cepat merebak kerana rumah diperbuat daripada kayu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.
No comments:
Post a Comment