Translate

Thursday, July 11, 2024

Kerajaan Perpaduan sudah menang lima PRK, PN baru tiga

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam akan dijadikan pengajaran oleh Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan menghadapi PRK DUN Nenggiri yang dijadual berlangsung bulan depan.

Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, BN belajar daripada isu-isu berbangkit pada PRK DUN Sungai Bakap untuk merangka formula terbaik bagi menawan semula DUN Nenggiri.

Beliau berharap pengundi DUN Nengiri akan memberi peluang kepada calon BN yang akan diwakili UMNO pada PRK berkenaan pada 17 Ogos depan.

“Sebagai pasukan barisan hadapan (Kerajaan Perpaduan), kita tidak akan kecewa apa yang berlaku (kekalahan PRK DUN Sungai Bakap). Kerja perlu diteruskan.

“PRK ada yang (kerajaan Perpaduan) menang, ada yang kalah. Lihat secara keseluruhan (lapan PRK yang telah diadakan),” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek Klinik Kesihatan Kota Putera di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan PRK DUN Sungai Bakap kelmarin yang menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dari Pas menang dengan majoriti 4,267 undi.

Ahmad berkata, secara keseluruhannya kerajaan Perpaduan diwakili BN dan Pakatan Harapan (PH) telah memenangi lima daripada lapan PRK yang telah diadakan pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu DUN Tioman, Simpang Jeram, Pelangai dan Kuala Kubu Bharu serta Parlimen Pulai.

Tambah beliau, pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi di Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman serta terbaharu, DUN Sungai Bakap.

Kosmo! 29 Jun lalu melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggeri pada 17 Ogos depan dengan peruntukan RM1.6 juta. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment