Translate

Friday, July 26, 2024

Bukan pasal takut PRK, keputusan Speaker Dewan Rakyat ikut perlembagaan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tidak timbul soal kerajaan Perpaduan takut menghadapi pilihan raya kecil (PRK) sebagai punca Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpandangan keputusan Johari itu jelas berpandukan Perkara 49 Perlembagaan Malaysia.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut juga berkata, sebaliknya parti itu pasti akan bertanding sekiranya PRK benar-benar diadakan di enam kawasan Parlimen tersebut.

“Keenam-enam kerusi (Parlimen) itu dahulu kerusi UMNO. Kalau kosong, UMNO akan bertanding.

“Dalam politik mana boleh takut (kekalahan dalam PRK),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Speaker Dewan Rakyat enggan mengosongkan enam kerusi Parlimen itu kerana kerajaan Perpaduan gentar berhadapan kekalahan dalam PRK.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Perpaduan juga berlapang dada sekiranya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat tersebut cuba mencabarnya di mahkamah.

Begitupun Presiden UMNO tersebut menjelaskan senario yang berlaku terhadap enam bekas Ahli Parlimen Bersatu tersebut berbeza dengan Ahli Parlimen BN.

“Situasi itu berbeza dengan kedudukan Ahli Parlimen BN kerana menandatangani dokumen sebelum menerima surat watikah jadi calon (Pilihan Raya Umum ke-15) jika mereka keluar daripada parti perlu membayar RM100 juta.

“Berbeza dengan situasi Bersatu, pindaan perlembagaan (hanya dibuat) setelah keenam-enam Ahli Parlimen tersebut menyatakan dokongan kepada Perdana Menteri (Anwar),” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment