Translate

Thursday, July 4, 2024

Reka bentuk ECRL bebas banjir

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Reka bentuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer dibina bebas banjir yang membolehkannya kekal beroperasi walaupun pada waktu hujan lebat dan musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, keseluruhan struktur kejuruteraan jajaran termasuk terowong dan jambatan dibina lebih tinggi daripada paras banjir tertinggi pernah direkodkan.

Beliau berkata, pembinaan projek ECRL itu mengambil kira ukuran tahap melampau hujan menerusi tempoh purata berulang (ARD) 100 tahun.

"Kita telah kenal pasti lokasi-lokasi kerap dan berisiko banjir di Pantai Timur.

"Semua struktur dibina sekurang-kurangnya 20 peratus lebih tinggi daripada paras tertinggi banjir dalam tempoh 100 tahun,

"Misalnya, landasan (ECRL) di Sungai Pahang dibina pada ketinggian 51.2 meter iaitu 13 meter lebih tinggi daripada paras tertinggi banjir iaitu 38 meter," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Iftar MRL bersama pengamal media Terengganu di sini kelmarin.

ECRL yang merangkumi 59 terowong dan beberapa jambatan yang dibina dengan kos RM50.27  bilion dijadual siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Projek mega itu membabitkan tiga jajaran iaitu Seksyen A dari Kota Bahru ke Dungun, Terengganu, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Darwish berkata, kemajuan keseluruhan projek ECRL mengikut jadual dan kini tekah mencapai 28.57 peratus.

Beliau berkata, enam stesen yang terdapat di Terengganu akan mula dibina pada suku keempat tahun ini sebelum dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

No comments:

Post a Comment