Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Belum pun sembuh luka kematian anak bongsu akibat kecuaian hospital tujuh tahun lalu, pasangan guru kembali meratap sedih apabila kehilangan anak sulung dalam kejadian dipercayai langgar lari baru-baru ini.
Fadilah Abd. Wahab, 50, berkata, anak lelakinya, Ahmad Faiq Shauqi, 19, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 1 Disember lalu selepas 32 hari bertarung nyawa.
Dakwanya, kejadian itu berlaku apabila motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangi anaknya bertembung dengan kereta Perodua Myvi di persimpangan berhampiran Perpustakaan Desa Kampung Amir di sini pada pukul 8.30 malam, 30 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, dakwanya, Ahmad Faiq Shauqi yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan telah dibiarkan di tepi jalan sebelum dikejarkan ke hospital oleh penduduk kampung yang menemuinya lebih sejam kemudian.
Menurut Fadilah, kematian Ahmad Faiq Shauqi telah memberi kesan trauma teruk kepadanya, suami, Muhamad Sardi Saad, 44, dan anak perempuannya, Batrisyia Umairah, 15.
Sehubungan itu, dia berharap kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya dan pihak yang bertanggungjawab mendapat balasan.
“Anak saya koma selama 32 hari di Unit Rawatan Rapi HSNZ sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.15 malam, 1 Disember lalu,” katanya.
Katanya, Ahmad Faiq Shauqi yang merupakan pelajar Institut al-Quran Terengganu, Kuala Terengganu telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Madinah namun terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.
“Anak bongsu saya, Ulya Insyirah sebelum ini telah meninggal dunia akibat kecuaian Hospital Besut pada 2013 dan kematiannya baru mendapat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada dua tahun lalu.
“Kini kami diuji lagi dengan kehilangan anak sulung pula. Setiap hari sejak kematiannya, saya tersedar pukul 4 pagi untuk mengejutkannya seolah-olah dia masih ada sebelum menangis teresak-esak setelah menyedari dia telah pergi selamanya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu memberitahu, kes kemalangan itu masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Untuk rekod, Kosmo! pada 15 Mei 2018 melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan 11 defendan iaitu dua pengarah hospital dan sembilan doktor membayar ganti rugi RM896,792.13 kepada Fadilah dan Muhamad Sardi akibat kecuaian menyebabkan kematian Ulya Insyirah yang ketika itu berusia empat tahun.
No comments:
Post a Comment