Translate

Thursday, June 7, 2018

Tujuh ahli Geng Jepun diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Jepun yang aktif dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi dan bateri di sekitar Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kejayaan itu hasil penahanan tujuh anggota kumpulan itu yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kes kecurian sejak setahun lalu.

Difahamkan, salah seorang yang ditahan ialah dalang kumpulan tersebut dikenali dengan panggilan Jepun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini antara 26 Mei hingga 31 Mei lalu.

Katanya, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pembeli bagi barangan curi tersebut.

“Serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasek di sini berjaya menemui 90 kilogram (kg) tembaga kabel telekomunikasi dan 200kg bateri yang dipercayai dicuri oleh kumpulan tersebut. Kesemua rampasan tersebut bernilai RM2,030.

“Beberapa botol gas metana kosong yang dipercayai digunakan untuk membakar kabel te­lekomunikasi bagi mendapatkan tembaga dan peralatan seperti parang, gergaji, sabit, tukul besi dan sarung tangan turut ditemui dalam serbuan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.

Jelasnya, polis turut merampas sebuah motosikal Yahama 125 dan van jenis Ve­nette yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kabel telekomunikasi dan bateri curi tersebut.

Menurut beliau, modus ope­randi yang digunakan kumpulan tersebut ialah dua ahlinya akan bertindak memotong kabel telekomunikasi sementara dua orang lagi berperanan sebagai pemantau di kawasan sekitar sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal atau kereta.

“Tembaga diperoleh dengan cara membakar atau kabel te­lekomunikasi itu disiat sebelum dijual kepada peraih. Siasatan awal mendapati tembaga dijual pada harga RM17 sekilogram manakala bateri pula RM2.50 bagi berat sama.

“Pemeriksaan juga mendapati enam suspek positif dadah jenis methamphetamine. Empat daripada mereka termasuk dalang yang berusia 30 tahun juga mempunyai rekod jenayah lampau pecah rumah, memiliki barangan curi dan pe­nyalahgunaan dadah,” katanya.

No comments:

Post a Comment