Translate

Monday, June 11, 2018

Tauke balak dituduh rasuah pegawai perhutanan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tauke balak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memberi rasuah seba­nyak RM5,000 kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu pada dua bulan lalu.

Tertuduh, Tan Teo Liong, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan, Teo Liong didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM5,000 kepada seorang penolong pengarah operasi Jabatan Perhutanan Terengganu di sebuah kilang kayu, MJ Wood Industries, Kampung Bintang, Setiu pada pukul 1.30 petang, 2 April lalu.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan agar pegawai tersebut tidak mengambil tindakan terhadap kayu bulat milik tertuduh yang tidak mempu­nyai cop tanda tukul Jabatan Perhutanan.

Ketiadaan cap tanda tukul tersebut pada kayu bulat merupakan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

Tertuduh didakwa melakukan ke­salahan mengikut Seksyen  17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Latifah Ariffin.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Jerteh, Besut setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 30 Julai hadapan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

No comments:

Post a Comment