Translate

Monday, June 4, 2018

Geng pecah rumah Mie Tiger tumpas di Marang

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang dipercayai anggota Geng Mie Tiger yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pecah rumah di daerah ini dan Kuala Terengganu berjaya diberkas polis pada hujung minggu lalu.

Penahanan kesemua suspek yang berusia antara 14 hingga 37 tahun berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang kebanyakannya berlaku di sekitar Bukit Payung di sini sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek termasuk seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini berjaya ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini pada Jumaat dan kelmarin.

"Dalang sindiket ini dikenali sebagai Mie Tiger yang berusia 29 tahun dan dia memiliki 15 rekod jenayah lampau sejak tahun 2003.

"Dia dipercayai merekrut remaja berusia 14 tahun dan seorang lagi remaja keciciran persekolahan berusia 16 tahun yang berperanan memasuki rumah yang dipecah masuk berikutan fizikal mereka yang kecil," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.


Fazlisyam berkata, serbuan di sebuah rumah di Bukit Payung  di sini telah menemui sebahagian barangan berharga yang dipercayai dicuri geng jenayah terbabit seperti komputer riba, jam tangan, beg sandang dan beg tangan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment