Translate

Friday, June 15, 2018

TSG optimis empat pelumba bakal menyerlah di Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Cycling Team (TSG) menerusi empat pelumbanya optimis mampu mengharumkan nama negara pada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, Mohd. Shahrul Mat Amin (gambar kecil) dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menjadi sandaran bagi acara trek, manakala Irwandi Lakasek dan Afiq Huznie Othman pula merupakan harapan bagi acara lebuh raya.

“Berdasarkan prestasi semasa dan kecemerla­ngan yang pernah dirintis pada Sukan SEA 2017, kami berkeyakinan Mohd. Shahrul dan Nur Amirul merupakan prospek terbaik untuk merangkul pingat emas dalam acara trek.

“Bagi acara lebuh raya pula, Irwandi dan Afiq Huznie bakal memperkuatkan pasukan negara untuk memberi saingan se­ngit pada Sukan Asia edisi kali ini,” katanya di Kuala Terengganu kelmarin.

Ahmad Farhan berkata, persiapan keempat-empat atlet berkenaan berada pada tahap 80 peratus untuk menghadapi Sukan Asia dan ia bakal dipertingkatkan menjelang dua bulan ter­akhir menjelang tema­sya berkenaan.

Menurut beliau, pasukan TSG termasuk Mohd. Shahrul, Nur Amirul, Irwandi dan Afiq Huznie tekun menjalani latihan walaupun pada bulan Ramadan.

“TSG juga telah menyertai dua kejohanan iaitu di Filipina dan Korea Selatan sepanjang bulan Ramadan ini. Alhamdulillah, pencapaian agak memberangsangkan apabila kami meraih tempat kedua dan ketiga keseluruhan bagi setiap pertandingan itu.

“Kita juga akan menyertai beberapa kejohanan lain seperti di Tour of Rwanda pada masa terdekat untuk membantu persiapan empat atlet tersebut ke Sukan Asia,” katanya.
Ahmad Farhan percaya prestasi Mohd. Shahrul, Nur Amirul Fakhruddin, Irwandi dan Afiq Huznie akan memuncak, sekali gus bakal mengharumkan nama negara dalam acara berbasikal dan temasya terbesar Asia itu kelak.

“Tahun 2018 merupakan kebangkitan buat TSG bermula dengan pencapaian cemerlang pada Le Tour de Langkawi Mac lalu.

“Saya percaya ia akan memberi kesan positif kepada skuad berbasikal negara untuk mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Asia nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment