Translate

Saturday, June 23, 2018

Usahawan muda hasilkan keropok lekor perisa tandoori

DUNGUN – Keenakan keropok lekor Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi.

Selain perisa asli yang diperbuat daripada isi ikan selayang, tepung sagu dan garam, keropok lekor kini turut mempunyai perisa keju untuk kepelbagaian rasa.

Kehendak pelanggan terutama dari luar Terengganu yang berbeza-beza telah membuka idea untuk seorang anak muda, Aliff Shazwan Harun daripada Aliff Jaya Trading & Services menghasilkan keropok lekor sejuk beku perisa kari, tandoori dan lada hitam.

Aliff Shazwan, 26, berkata, idea mencipta keropok lekor berperisa timbul sewaktu dia menghadiri kursus pembuatan sosej di sebuah akademi kulinari di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

“Saya terfikir, kalaulah sosej yang berasaskan isi ayam boleh dipelbagai perisanya, kenapa tidak keropok lekor sedangkan ia diperbuat daripada isi ikan.

“Setelah beberapa kali percubaan, saya berjaya menghasilkan produk sejuk beku keropok lekor perisa tandoori, kari, lada hitam dan keju sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kawasan Perindustrian Pulau Serai di sini baru-baru ini.

Maklumat lanjut mengenai produk keropok lekor sejuk beku ini boleh diperoleh menerusi laman web premierlekor.com.

No comments:

Post a Comment