MOHD. AZLI ADLAN
MARANG - Geng Jepun yang disyaki aktif dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi dan bateri di sekitar Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu lumpuh dengan penahanan tujuh anggotanya di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Penahanan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 42 tahun dipercayai dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes kecurian kabel telekomunikasi dan bateri di kesemua daerah berkenaan sejak setahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek termasuk seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai pembeli barangan curi berkenaan ditahan di sekitar daerah ini antara 26 Mei dan 31 Mei lalu.
"Serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasek di sini berjaya menemui 90 kilogram (kg) tembaga kabel telekomunikasi dan 200 kg bateri dipercayai dicuri yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM2,030.
"Beberapa botol gas metana kosong yang dipercayai digunakan untuk membakar kabel telekomunikasi bagi mendapatkan tembaga dan peralatan seperti parang, gergaji, sabit, tukul besi dan sarung tangan turut ditemui dalam serbuan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment