Translate

Tuesday, June 12, 2018

Ahmad Razif sedia lepaskan jawatan sebagai Presiden PBSNT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DATUK Seri Ahmad Razif Abd. Rahman akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memberi laluan kepimpinan baharu kerajaan negeri dite­rajui Pas memainkan peranan sewajarnya terhadap perkembangan pasukan bola sepak tempatan.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, peralihan kepimpinan baharu badan induk bola sepak negeri ber­kenaan dijangka berlaku pada mesyuarat agung tahunan PBSNT yang dijadualkan bulan depan.

“Saya akan menyerahkan jawatan No. 1 (Presiden) dalam PBSNT dan telah menawarkannya kepada kepimpinan baharu kerajaan negeri.

“Ia bagi memastikan sukan bola sepak negeri ini terus berdaya saing, apatah lagi persatuan (PBSNT) ini memang berkait rapat dengan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar anjuran Kelab Wartawan Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin.

Ahmad Razif merupakan Presiden PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020 setelah menang tanpa bertanding pada kongres luar biasa persatuan itu  Disember 2016.

Beliau yang menggantikan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid merupakan arkitek penjenamaan semula bola sepak Terengganu yang kini dikenali sebagai Terengganu Football Club (TFC) dan menggunakan pakai sistem pasukan pelapis (feeder team).

Pengunduran Ahmad Razif dalam kepimpinan PBSNT kelak dijangka diikuti oleh beberapa pegawai lain dalam persatuan bola sepak tersebut termasuk setiausaha agungnya, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini, Timbalan Pre­siden I PBSNT, Datuk Wan Nawa­wi Wan Ismail bertindak mele­takkan jawatannya pada 15 Mei lalu berikutan peralih­an kuasa kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment