Translate

Tuesday, June 5, 2018

Bas Amphicoach Terengganu untuk tujuan pelancongan sahaja bukan misi musim banjir

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu yang diterajui Pas tidak berhasrat menggunakan bas Amphicoach yang mempunyai fungsi dua alam untuk kegunaan operasi menyelamat mangsa banjir seperti matlamat asal pembeliannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sebaliknya, bas bernilai RM3.3 juta buatan Malta terbabit akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan tarikan pelancongan.

"Berdasarkan dua sesi ujian yang dilakukan sebelum ini, kami berpendapat bas Amphicoach tidak mampu melakukan 'kerja berat' seperti operasi menyelamat mangsa banjir tetapi lebih sesuai sebagai produk pelancongan.

"Keunikannnya yang merupakan satu-satunya bas dua alam yang terdapat di Asia pasti menggamit pelancong. Sehubungan itu, kami berhasrat menjadikannnya salah satu pakej tambahan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat berhubung bas Amphicoach daripada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelancongan negeri di sini hari ini.


Ariffin berkata, pakej menyusuri Sungai Terengganu dengan bas Amphicoach di TTI terbabit dijangka dapat dilaksanakan pada awal tahun hadapan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment