Translate

Wednesday, June 6, 2018

Geng pecah rumah Mie Tiger tumpas di Marang

MARANG – Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang dipercayai anggota Geng Mie Tiger diberkas selepas aktif melakukan aktiviti pecah rumah di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu minggu lalu.

Penahanan kesemua suspek berusia antara 14 hingga 37 tahun itu dipercayai mampu menyelesaikan sekurang-ku­rangnya 10 kes pecah rumah yang kebanyakannya berlaku di sekitar Bukit Payung di sini sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek termasuk seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini berjaya ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Dalang sindiket ini dikenali sebagai Mie Tiger yang ber­usia 29 tahun dan dia memiliki 15 rekod jenayah lampau sejak tahun 2003.

“Dia dipercayai merekrut remaja berusia 14 tahun dan seorang lagi remaja keciciran sekolah berusia 16 tahun yang berperanan untuk memasuki rumah yang dipecah masuk berikutan fizikal mereka yang kecil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini semalam.

Fazlisyam berkata, serbuan di sebuah rumah di Bukit Payung  di sini telah menemui sebahagian barangan berharga yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit seperti komputer riba, jam tangan, beg sandang dan beg tangan.

Menurut beliau, serbuan itu juga telah merampas pemotong besi, topeng muka dan sarung tangan yang digunakan kesemua suspek sewaktu melakukan aktiviti pecah rumah terbabit selain bungkusan mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Modus operandi Geng Mie Tiger ialah mengenalpasti rumah yang tidak berpenghuni terutama pada hujung minggu dan waktu solat tarawih untuk dipecah masuk,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment