Translate

Sunday, June 24, 2018

BN harus pandang serius pengunduran parti komponen, wakil rakyat

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tindakan sebahagian parti-parti komponen dan wakil rakyat meninggalkan kerjasama komponen Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara serius.

Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perkara itu berkemungkinan tidak berlaku sekiranya pemimpin parti-parti komponen berkenaan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan hala tuju BN selepas komponen tersebut tewas pada PRU-14 baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, kepimpinan BN sepatutnya mencari jalan untuk meredakan tindakan parti-parti komponen dan wakil rakyat yang berundur daripada kerjasama komponen tersebut.

"Sepatutnya diadakan mesyuarat bersama-sama pemimpin parti-parti komponen untuk bercakap mengenai masa depan BN sesudah kalah pada pilihan raya (PRU-14) tetapi kita tidak dengar pula. Tiba-tiba parti itu, parti ini tarik diri daripada BN.

"Kita dengar pula seorang wakil rakyat UMNO (Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali) keluar parti. Memang hak mereka tetapi sekurang-kurangnya biar lah ada perbincangan. Takkan kita hendak berpeluk tubuh membiarkan mereka sedangkan mereka bertanding atas simbol dan perjuangan kita (BN)," katanya selepas menghadiri majlis suai kenal bersama perwakilan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, biar pun masih belum mempunyai hak untuk campur tangan, tindakan parti-parti komponen dan beberapa wakil rakyat meninggalkan BN termasuk terbaharu parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Noor Azmi berkenaan amat menggusarkan beliau.


BN yang sebelum ini dianggotai 13 parti komponen kini tinggal tiga sahaja iaitu BN, MCA dan MIC berikutan pengunduran yang lain termasuk di Sabah dan Sarawak berikutan keputusan buruk pada PRU-14. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment