Translate

Tuesday, June 7, 2016

Zakat fitrah di Perlis, Johor naik

Oleh Wartawan Kosmo!

KUALA LUMPUR – Kadar zakat fitrah bagi tahun 2016 di Johor dan Perlis menyaksikan kenaikan antara RM1 hingga RM0.50 sen, manakala kadar zakat di Terengganu diselaraskan daripada tiga kategori kepada satu kategori sahaja iaitu RM7.

Kadar zakat fitrah tahun ini di lain-lain negeri di seluruh negara adalah bersamaan dengan bayaran tahun 2015 dengan kadar paling rendah di Negeri Sembilan RM6.50, manakala sembilan negeri lain kekal RM7.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis me­ngumumkan kadar zakat fitrah di Perlis naik 50 sen pada tahun ini iaitu RM7 berban­ding RM6.50 pada 2015.

Sementara itu di Johor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Rofiki Shamsudin berkata, kadar zakat fitrah tahun ini di negeri itu bagi keluarga dalam kategori gred beras hancur 15 peratus naik RM1 daripada RM5 kepada RM6, manakala kategori beras standard (lima dan 10 peratus ke atas) kekal RM8.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) me­ngumumkan kadar zakat fitrah pada tahun ini ditetapkan pada kadar minimum RM7.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar tersebut berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan 10 pe­ratus dan lima peratus hancur di pasaran.

“Selain wang tunai, zakat fitrah juga boleh dibayar de­ngan 2.6 kg beras yang bersamaan dengan 2.97 cupak atau satu gantang Baghdad,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Shaikh Harun berkata, sebelum ini, zakat fitrah bagi Terengganu ditetapkan pada tiga kadar iaitu RM7.40, RM6.80 dan RM4.60 mengikut gred beras yang dimakan pada setiap keluarga.

Sementara itu, menurut sumber Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), setiap ne­geri mempunyai kadar bayaran zakat fitrah yang berbeza dan mengikut Majlis Agama Islam negeri di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment